TRAGEDI KETUPAT BERDARAH, SAMBAS TAHUN 1999
www.dpp-pfkpm.blogspot.com
KETUPAT merupakan antara juadah istimewa bagi masyarakat Melayu di Nusantara
dan kebiasaannya dihidangkan sewaktu perayaan istimewa misalnya ketika sambutan
Hari Raya. Dan mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah pula perkaitan ketupat
dengan darah kerana ia seharusnya melambangkan keceriaan dan kegembiraan
setelah sebulan menjalani ibadah puasa.
Kita sudah biasa dengan cerita-ceriti pertikaian kaum di bumi Kalimantan contohnya
Perang Sampit yang melibatkan etnik Madura dengan Dayak yang berlaku pada abad
ke 20. Dalam pada itu mungkin ramai yang tidak mengetahui selain daripada
pertikaian antara Madura dan Dayak, di Kalimantan juga pernah terjadi satu
tragedi berdarah yang melibatkan Madura dan Melayu Sambas. Ianya berlaku pada
tahun 1999 atau untuk lebih mengkhusus pada tanggal 19 Januari 1999 bersamaan
dengan 1 Syawal 1419 Hijriah di Kampung Parit Setia, Kecamatan Jawai, Kabupaten
Sambas.
1 Syawal yang sepatutnya diraikan dengan gembira oleh orang Islam dengan
tidak semena-mena menjadi sambutan hariraya aidilfitri paling tragis bagi
masyarakat Melayu Sambas sehingga ianya akan dikenang sampai bila-bila kerana
melibatkan gugurnya tiga orang anak Kampung Parit Setia akibat diradak dengan
“cluit” yakni senjata orang Madura. Difahamkan kejadian itu berlaku betul-betul
usai sahaja masyarakat Melayu Sambas menjalankan solat sunat aidilfitri di
masjid yang berdekatan.
Jika kita menggodek sejarah lama pertikaian antara orang Madura dengan
Melayu Sambas bukanlah hanya terjadi pada tahun 1999 sahaja malah ianya boleh
dijejaki sehingga ke tahun 1933 iaitu ketika Kerajaan Sukadana atau Ketapang
masih lagi utuh berdiri di bumi Kalimantan. Pada ketika itu dikatakan seorang
nakhoda telah membawa 25 orang “hamba” dari Madura dan mereka dijual kepada
saudagar Melayu Sambas yang mana menyaksikan mereka dijadikan buruh untuk
membuka hutan untuk dijadikan kebun dan ladang. Dek kerana tidak tertahan
dengan kerja yang berat ditambahlagi tidak dibayar upah seperti yang dijanjikan
maka mereka bangun menentang saudagar Melayu Sambas tersebut sehingga memaksa
ada campurtangan daripada pihak istana untuk mendamaikannya.
Mungkin ianya hanya satu sejarah lama dan kes-kes terpencil namun sejarah
tetap sejarah sehinggalah ianya seumpama api di dalam sekam yang lama-lama
boleh besar apinya dan menyebabkan kemusnahan yang total. Cuma apa yang terjadi
pada tahun 1999 itu puncanya bukanlah sama sekali mengenai upah atau hamba yang
melarikan diri sebaliknya melibatkan hal peribadi antara beberapa orang Madura
yang mendiami Kampung Parit Setia dengan penduduk tempatan perkampungan
tersebut.
Dikatakan asal bermulanya berlaku pada bulan Ramadhan iaitu beberapa hari
sebelum sambutan Syawal dirayakan. Ada beberapa orang Madura telah memasuki
rumah seorang Melayu Sambas dikawasan tersebut dengan niat untuk mencuri.
Apabila orang kampung mendengar jeritan tuan rumah yang dimasuki pencuri maka
pertolongan diberikan lantas pencuri-pencuri itu segera ditangkap. Maka terjadilah
episod tuduh menuduh antara mereka sehingga ada yang hilang sabar dan mula
“datang tangan” ke atas pemuda-pemuda Madura tersebut sehingga cedera.
Bermula dari hari itulah masyarakat Madura yang mendiami Kampung Parit Setia
sudah mula bermasam muka dengan masyarakat Melayu Sambas. Rasa amarah yang
dipendam lama-lama sudah tidak tertahan lebih-lebih lagi mereka berpendapat
bukanlah niat pemuda-pemuda Madura itu untuk mencuri sebaliknya tersalah rumah
kerana mereka di dalam keadaan mabuk selepas meminum arak. Alasan mereka
langsung tidak dapat diterima oleh masyarakat kampung dan berita Madura menjadi
pencuri terus-terusan menjadi topik perbualan sehingga ke perkampungan yang
berdekatan.
Akhirnya ada dikalangan masyarakat Madura yang mendiami Kampung Parit Setia
telah mengambil tindakan berani mati dengan mengamuk di perkampungan tersebut
ketika masyarakat Melayu Sambas sedang sibuk bermaaf-maafan kerana ianya adalah
1 Syawal. Tidak tertahan diprovokasi ada Melayu Sambas sudah hilang sabar
kerana kelihatannya Madura berani memijak kepala mereka lantas berlakulah
perkelahian antara mereka. Akibat daripada perkelahian yang tidak mampu
diselesaikan malah semakin parah akhirnya ada beberapa orang lelaki Madura
telah mengeluarkan “cluit”, senjata peribadi mereka sehingga menyebabkan tiga
orang pemuda Melayu Sambas menemui ajal kerana kecederaan teruk.
Berita malang yang menimpa masyarakat Melayu Sambas di Kampung Parit Setia
akhirnya tersebar ke kampung-kampung yang lain malah sehingga melangkaui
daerah-daerah yang lain. Masyarakat Melayu Sambas bangkit menuntut keadilkan
kerana darah harus dibayar dengan darah bagi mereka. Masyarakat Madura yang
mendiami bumi Sambas harus diajar kerana walau bagaimanapun mereka sudah lama
bermastautin tetap di Sambas mereka tetap orang asing.
Berlaku banyak rusuhan daripada Januari 1999 sehinggalah pada awal tahun
2000 yang mana ianya melibatkan angkatan bersenjata turut campurtangan bagi
meredakan keadaan genting. Banyak harta benda yang musnah samada dibakar dengan
sengaja dan sebagainya. Perintah berkurung turut dikuatkuasakan namun perasaan
benci semakin meluap-luap. Bahkan diceritakan Melayu Sambas turut menerima
bantuan daripada dayak-dayak di Sambas untuk sama-sama menghadapi amukan Madura
pada ketika itu. Dek kerana itulah jika Perang Sampit banyak menceritakan
hal-hal supernatural perang Dayak maka begitulah juga tragedi ketupat berdarah
kerana ianya juga melibatkan senjata serta magis masyarakat Dayak itu sendiri.
Tragedi ketupat berdarah selama ianya berlangsung telah mengorbankan
kemusnahan yang besar iaitu 3,833 rumah terbakar dan rosak teruk, 12 buah
kereta dan sembila motosikal dibakar, lapan buah masjid dibakar dan dua buah
sekolah rosak teruk. Angka korban pula yang melibatkan masyarakat Melayu
Sambas, Dayak dan Madura juga besar iaitu 1,189 orang mati terbunuh, 168 cedera
teruk dan 34 orang cedera ringan. Manakala 29,823 orang masyarakat Madura yang
mendiami bumi Sambas pula diusir keluar dari bumi Sambas samada mereka terlibat
atau tidak tanpa mengira lelaki, perempuan, tua atau muda asalkan mereka adalah
masyarakat Madura.
Bagi mengenang tiga pemuda Melayu Sambas yang terbunuh ketika mempertahankan
perkampungan mereka iaitu Kampung Parit Setia telah didirikan satu tugu yang
dinamakan Tugu Ketupat Berdarah. Replika tiga tangan yang mengangkat satu
ketupat berdarah itu melambangkan tiga pemuda yang terbunuh ketika 1 Syawal
1419H atau bersamaan dengan 19 Januari 1999. Tugu itu kekal sehingga ke hari
ini bagi tatapan generasi mendatang tentang tragedi perkauman yang melibatkan
Madura dan Melayu Sambas.
-HB- #KamekSayangSarawakBah!
Rujukan:
1. Konflik Melayu dan Madura Bak Padi Dalam Sekam - Studi Kasus Kabupaten Sambas
https://www.academia.edu/…/KONFLIK_MELAYU_DAN_MADURA_BAK_PA…
2. Buku: Garam, Kekerasan Dan Aduan Sapi - Esai-esai Tentang Orang Madura dan Kebudayaan Madura. Penulis Hoob De Junge
3. Menelusuri Akar Konflik Antaraetnik Di Kalimantan Barat oleh Arkanudin
https://ejournal.unisba.ac.id/…/m…/article/viewFile/1276/818
4. Konflik Antar Sukubangsa Melayu dan Dayak Dengan Madura Di Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat oleh Parsudi Suparlan
https://etnobudaya.net/…/konflik-antar-sukubangsa-melayu-d…/
5. Sejarah Konflik Antara Suku Di Kabupaten Sambas
http://insankampus.blogspot.com/…/sejarah-konflik-antar-suk…
0 Komentar untuk "TRAGEDI KETUPAT BERDARAH, SAMBAS TAHUN 1999"